Friday, October 31, 2008

NOVEL TELEPON BIMBIT






Oleh ADHAM SHADAN (KOSMOS)

Anda kini boleh membaca novel yang tebalnya sehingga kira-kira 480 muka surat menerusi skrin telefon bimbit.

MASA yang banyak digunakan bersama telefon bimbit kini dapat diisi dengan membaca novel.

ANDA kini bukan sahaja boleh berbual, mengirim pesanan ringkas atau melayari Internet menerusi telefon bimbit. Bahkan, anda juga kini boleh membaca novel melaluinya. Apabila teknologi semakin mengembangkan horizonnya, lantas memudahkan hidup manusia.

Tidak terhad kepada itu, pembaca turut berpeluang mewujudkan komuniti maya bagi membolehkan mereka bertukar pandangan menerusi forum. Pembaca juga boleh memberikan rating terhadap buku yang dibaca dan lebih penting melihat sendiri katalog buku terbaru di pasaran yang boleh dibeli terus menerusi telefon bimbit.

Di Malaysia, sistem tersebut sudah boleh kita kecapi hari ini. Terima kasih kepada syarikat pembekal rasmi kandungan mudah alih, Metadome Sdn. Bhd. yang berkolaborasi dengan syarikat penerbitan, PTS Sdn. Bhd. untuk merealisasikan novel dalam telefon bimbit.

Memiliki keupayaan teknologi menukar buku fizikal ke dalam bentuk digital, Metadome dan syarikat buku berbahasa Melayu itu telah membolehkan pengguna mendapatkan bahan bacaan dalam bentuk maya yang dipanggil MBOOK. Ini bermakna, anda tidak perlu lagi memegang senaskhah novel, sebaliknya hanya membaca kandungan novel dari skrin telefon bimbit yang kecil.

Pelancaran MBOOK menerusi kerjasama dengan rakan telekomunikasi, Hotlink telah diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

MBOOK singkatan daripada mobile book (buku mudah alih) merupakan satu aplikasi yang secara asasnya membolehkan bahan bacaan seperti novel, cerpen, rencana dan segala bentuk penulisan dibaca menerusi telefon mudah alih.

Dengan caj muat turun sebanyak RM5 sahaja, anda kini boleh membaca novel yang tebalnya sehingga kira-kira 480 muka surat menerusi skrin telefon bimbit anda.

Menurut Pengarah Eksekutif Metadome, Syaizul Amal, apa yang pengguna perlukan hanyalah telefon bimbit yang dilengkapi aplikasi Java, GPRS atau 3G. Kesemua model telefon yang memenuhi kriteria ini layak untuk melakukan muat turun.

Selain itu, pengguna juga perlu memastikan ada kredit berbaki sekurang-kurangnya RM10 dan mempunyai kapasiti memori sekurang-kurangnya 300 kilobait sebelum memuat turun sesebuah novel.

Bagaimanapun, buat masa ini, ia hanya eksklusif untuk pengguna Maxis sahaja. Makluman mengenai aplikasi ini turut disiarkan di laman web portal Ekspresiku Hotlink.

Bukan sekadar membaca, MBOOK turut dilengkapi dengan pelbagai elemen multimedia dan interaktif seperti grafik dan bunyi bagi mencetuskan kesan pembacaan lebih berkesan.

"Kami turut setkan pada sesetengah muka surat tertentu, bunyi-bunyian dan grafik yang sesuai untuk menambah keseronokan dan mood pembacaan. Mungkin jika ada bahagian yang seram, kami masukkan bunyian yang seram di situ," katanya.

SYAIZUL AMAL menunjukkan sebuah novel dalam dua versi iaitu versi buku dan versi kandungan telefon bimbit.

"Apabila mendapat kandungan novel, pengguna boleh menyimpannya di dalam telefon bimbit dan menerusi sistem penanda buku, pembaca boleh menanda tempat sambungan yang akan dibaca kelak. Bermakna, pengguna tidak akan mempunyai masalah jika tidak dapat menghabiskan bacaan sesebuah novel sekali gus.

"Dengan sebuah novel mengambil kira-kira 300KB, ini bermakna dengan kapasiti memori 1 Gigabait, pembaca boleh menyimpan sehingga 500 buah novel hanya dalam sebuah telefon bimbit," tambahnya.

Menurut Syaizul, setakat ini, terdapat 250 judul buku yang menyertai sistem MBOOK dan 100 daripadanya merupakan novel daripada PTS.

Pada majlis pelancaran MBOOK di Kuala Lumpur baru-baru ini, salah satu novel terbitan PTS yang bertajuk Tak Bisa Memilihmu tulisan Ain Maisarah meraih perhatian apabila kumpulan 6ixth Sense yang mendendangkan lagu bertajuk serupa membuat persembahan.

Bahkan, novel itu mengisahkan tentang kisah benar kehidupan yang dilalui penyanyi utama kumpulan berkenaan, Adi yang merantau dari Indonesia ke Malaysia demi mengejar cita-cita untuk bergelar penyanyi. Bagaimanapun, dia terperangkap dalam cinta tiga segi apabila pemilik syarikat rakaman tempat dia bernaung, Sally jatuh cinta kepadanya sedangkan pada waktu yang sama, Adi mempunyai kekasih di Indonesia bernama Dewi.

Syaizul menjelaskan walaupun MBOOK baru dilancarkan, namun kenyataannya teknologi ini telah bertapak di negara ini sejak tahun 2004.

"Walaupun tidak ramai yang tahu, namun sambutan yang diterima hebat. Boleh dikatakan dalam sebulan, sebanyak 3,000 naskhah terjual. Biasanya, apabila seseorang itu sudah membelinya, mereka akan membeli sehingga tujuh kali," kata Syaizul.

Syaizul menambah, teknologi ini juga membolehkan buku atau novel dipasarkan secara efektif dan lebih meluas. Kadang-kadang, sesetengah novel atau buku itu hanya dapat dipasarkan di kedai-kedai buku di bandar-bandar atau di bandar-bandar kecil sahaja.

"Menerusi teknologi ini, anda boleh memuat turun novel-novel ini tidak kira di mana anda berada selagi mempunyai liputan talian," katanya.

"Novel-novel ini juga boleh didapati pada harga yang murah. Jika sebuah buku novel berharga puluhan ringgit misalnya, anda boleh mendapatkan kandungan yang sama pada harga RM5 sahaja."

LAMAN web ini juga boleh dijadikan panduan buat para pengguna.

Tidakkah ia menjejaskan nasib buku atau penulis buku? Syaizul menjelaskan, royalti yang diterima penulis juga hampir sama.

"Menerusi jualan buku, penulis lazimnya menerima royalti tujuh peratus daripada harga sebuah naskhah. Katakan senaskhah novel berharga RM20 dan royalti yang diterima penulis adalah dalam RM1.40. Dengan MBOOK, royalti yang diterima oleh penulis adalah antara RM1 hingga RM1.50 bagi satu muat turun novel.

"Buku tidak akan terjejas, tambahan pula, kaedah ini dapat menyemai minat membaca di kalangan remaja. Selama ini pun, remaja banyak menghabiskan masa bersama telefon bimbit di mana-mana. Jadi, trend membaca menerusi telefon bimbit ini patut dibudayakan untuk menarik minat membaca di kalangan muda-mudi. Apabila membaca sudah sebati dalam diri mereka, sudah tentu mereka akan mencari buku pula. Teknologi ini sekadar ejen mempromosi amalan membaca," katanya.

Untuk maklumat lanjut sila layari http://store.maxis.com.my dan www.metamobile.com.my

No comments: