Wednesday, October 29, 2008

DARI HOBI JADI PERNIAGAAN

ALANG-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkalan lengan. Begitulah tekad yang telah dibulatkan gadis kecil molek ini sebaik dirinya bergelar usahawan.

Lulusan Ijazah Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Farah Rahayu Othman, 29 tahun, sentiasa menjadikan kejayaan ahli keluarga lain dalam dunia keusahawanan sebagai idola dan pemangkin semangat untuk terus ke hadapan.

Wartawan, ZUARIDA MOHYIN berkesempatan menemu bual beliau berkongsi pengalaman mengusahakan Kedai Buku Rhythm yang terletak di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor.

MEGA: Bagaimanakah perniagaan saudari bermula dan mengapa bisnes ini yang menjadi pilihan?

FARAH: Perniagaan Kedai Buku Rhythm merupakan bisnes jenis francais. Namun ia dikendalikan oleh syarikat yang saya tubuhkan sendiri iaitu Qalam Bestari (M) Sdn. Bhd. pada 2004.

Minat dalam dunia perniagaan memang telah berputik sejak dahulu lagi tetapi pada masa itu belum menemui perniagaan yang dikira sesuai atau berkenan di hati.

Namun pada 2003, saya telah pergi ke pameran francais anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan harapan membuat tinjauan awal memandangkan pada pameran itu nanti ada pelbagai jenis francais yang ditawarkan di Malaysia.

Akhirnya, saya dapati bahawa perniagaan buku lebih dekat dengan jiwa saya, memandangkan hobi saya adalah membaca. Lantaran itu, pada Oktober 2004 segala usaha merealisasikan Kedai Buku Rhythm bermula secara serius dan bersungguh-sungguh.

Selain menguruskan perniagaan buku, syarikat saya juga terlibat dalam bidang khidmat rundingan (latihan). Kami telah berkesempatan memberi latihan kepada para lepasan siswazah anjuran Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara (Felcra) pada 2006 manakala setahun kemudian menyediakan kursus untuk penduduk Kampung Sukau, Sandakan, Sabah juga anjuran Felcra.

Kebiasaannya apabila sebut kedai buku, orang selalu membayangkan kedai-kedai yang biasa, jadi apakah yang ditawarkan atau kelainan yang terdapat di Kedai Buku Rhythm?

FARAH: Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pepatah Melayu yang amat sesuai dalam usaha kita memupuk minat membaca terutamanya di kalangan kanak-kanak. Bagi saya tabiat membaca patut dipupuk sejak dari kecil lagi.

Mengapa saya memilih untuk menjadi francais Rhythm, salah satunya kerana saya dapati Rhythm ada mengeluarkan buku kanak-kanak yang amat sesuai bagi peringkat umur dua hingga enam tahun. Kandungan buku-buku tersebut menarik dan diminati oleh ramai kanak-kanak.

Selain itu buku-buku keluaran Rhythm juga diterbitkan khas untuk peringkat tadika (prasekolah) yang saya dapati relevan dengan silibus tadika di Malaysia. Memandangkan pihak francaisor sendiri yang mengeluarkan buku-buku tersebut, itulah yang merupakan kekuatan utama Rhythm maka dengan sendirinya Kedai Buku Rhythm yang menjadi pengedar buku-buku tersebut mempunyai keunikan dan keistimewaannya tersendiri.

Buku-buku prasekolah ini memang mendapat sambutan daripada para pengusaha tadika terutamanya di sekitar Bangi, Selangor. Contohnya; Tadika Little Caliphs, Little Smarties dan Tadika Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ini terbukti apabila tempahan setiap tahun meningkat dari semasa ke semasa.

Apakah cabaran yang dihadapi dalam bidang ini dan bagaimana anda mengatasinya?

FARAH: Setiap perniagaan mesti ada cabarannya yang tersendiri. Saya juga tidak terkecuali. Bagi saya, cabaran tentunya bagaimana menarik pelanggan dan memenuhi kehendak mereka selain menghadapi persaingan dari kedai-kedai buku yang lain.

Namun bagi saya walaupun dari bidang yang sama, setiap perniagaan itu mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Selain daripada kelebihan dapat membekal buku terbitan francaisor tersendiri, saya harus memberi servis atau perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggan saya agar mereka akan datang kembali untuk membeli di kedai saya ataupun menjadi pelanggan setia atau tetap.

Saya juga perlu mempelbagaikan produk kedai saya agar mampu memenuhi kehendak pelanggan di pelbagai peringkat umur dan mampu memberi perkhidmatan yang terbaik.

Perancangan akan datang?

FARAH: Insya-Allah jika ada rezeki, saya ingin mengembangkan perniagaan yang sedia ada dan ingin mempelbagaikan lagi bidang yang diceburi.

Saya juga akan cuba untuk menambahkan perkhidmatan di kedai saya seperti membuat percetakan, cenderahati korporat dan penjilidan kulit keras dan lain-lain bagi syarikat-syarikat berkaitan.

Setelah lebih kurang empat tahun dalam dunia perniagaan, apakah kepuasan yang diperoleh dalam bidang ini?

FARAH: Kepuasan saya adalah apabila saya dapat memenuhi kehendak pelanggan contohnya bila pelanggan datang kembali ke kedai untuk membeli barang-barang dan juga bila melihat kanak-kanak dengan seronoknya membaca buku yang terdapat di kedai saya terutamanya terbitan Rhythm. Kepuasan saya juga apabila melihat kemajuan perniagaan saya dari hari ke hari.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE 30/10/08

No comments: