Murah tapi ada kualiti
Oleh YEO LI SHIAN
DI BookXcess, lambakan buku murah bukan saja menguntungkan penulis dan karyawan, malah kepada ulat buku.
TINGKAT dua, Blok A Dataran Harmodal, Petaling Jaya (PJ) pada hari itu terasa hangat seperti suasana di pasar borong. Dari jauh, kelibat pengunjung yang datang begitu jelas kedengaran. Berpusu-pusu masuk ke ruang jualan, majoritinya hadir bersama kotak atau beg-beg plastik bersaiz besar.
Biarpun tiada aktiviti tawar-menawar, pelanggan begitu pantas membuat pilihan. Tanpa berfikir panjang, satu-persatu dicapai dan dicampak terus ke dalam kotak. Kotak yang penuh, bersilih ganti dengan yang baru. Belum sampai sejam, kotak-kotak tersebut sudah pun sarat menggunung.
Berkotak-kotak buku itu diangkat menuju ke kaunter kiraan. Ironinya, barang yang dibeli bukanlah bekalan makanan untuk stok sebulan. Apa yang ada, cuma buku pelbagai saiz dan genre, cukup untuk memuaskan nafsu membaca komuniti pembaca ini.
Tanpa disedari, tindakan itu menarik perhatian. Dengan perasaan ingin tahu bercampur keliru, Alice Chong, 23, berfikir 'Banyaknya beli! Buka kedai buku ke?'. Sepanjang hidup Alice, dia belum pernah membeli buku sebanyak itu sekali gus. "Sejak hari pertama lagi, saya nampak ramai yang beli sehingga mencecah ratusan ringgit. Ada yang datang dua tiga kali. Rupa-rupanya, mereka langsung tidak kisah pasal wang. Janji dapat stok buku yang banyak pada harga yang sangat murah," cerita Alice, saat mengenang pengalaman bekerja sambilan pada jualan buku Big Bad Wolf (BBW), dua bulan lalu.
BOOKXCESS menawarkan pelbagai seleksi buku pada harga murah.
Meskipun hanya berlangsung selama lima hari, jualan buku itu meninggalkan impak besar terhadap komuniti pembaca tempatan. Bayangkan, dengan wang RM1 pembaca boleh membawa pulang sebuah buku kanak-kanak. Malah, sebuah novel pemenang anugerah sastera boleh diperoleh pada harga RM8 sahaja. Sedangkan, pada hari-hari biasa, buku-buku itu mencecah harga lebih RM30 setiap satu.
Dalam diam, Alice mengaku dia terpengaruh. Tidak ingin ketinggalan, pada hari terakhir jualan, anak kelahiran Johor Bharu, Johor itu terus 'menyambar' kira-kira 20 buah buku untuk dirinya dan ahli keluarga yang lain.
"Harga menjadi faktor utama bagi pelajar seperti kami. Jadi, kalau nampak sahaja harga buku yang mahal, niat membaca terus terkubur.
"Bukan apa. Belum tahu cari wang, sudah membazir. Walaupun tahu beli buku itu berbaloi, tetapi jika harganya mahal, ia jadi tidak praktikal. Sebaliknya, satu bebanan," jelasnya kepada Kosmo! bersungguh-sungguh.
Sebab itulah apabila harga buku murah, tiada yang teragak-agak untuk membuat pembelian. Malah, setakat ini, Alice telah membaca buku ketiga daripada sejumlah buku yang dibelinya tempoh hari.
JACQUELINE berpendapat harga buku yang murah akan menguntungkan kedua-dua pihak pembaca dan penulis.
"Apabila membeli buku yang mahal dan tebal, pembaca mungkin ragu-ragu sama ada dapat menghabiskannya atau tidak. Dalam kes saya, kalau bukan sebab harga buku yang murah, agaknya saya tidak akan mencuba bahan bacaan berbahasa Inggeris," katanya yang hanya membelanjakan lebih RM60 untuk 14 buah buku.
Biarpun faham bahawa faktor harga buku yang mahal sebagai pembunuh niat membaca, seorang pembaca tegar, Hafiz Hamzah, 27, sedar berhubung nilai estetika sesebuah buku.
Jelasnya, penurunan harga buku juga dapat menggandakan kuasa pembelian bilangan buku oleh pembaca. Tindakan ini, kata Hafiz, 'jauh lebih baik daripada segala macam retorik yang berselindung di sebalik kempen membaca.'
"Ini (harga buku mahal) tidak dapat dielakkan. Tetapi, kalau kita ingin meningkatkan budaya membaca, fikirkan satu mekanisme bagi membolehkan industri menawarkan harga buku lebih rendah. Selain menambah bilangan pembaca, ia juga boleh membanyakkan bahan bacaan berkualiti, termasuklah judul yang jarang mendapat perhatian.
"Jika subsidi saja alternatif yang tinggal, apa salahnya diusulkan kepada kerajaan. Desak jika perlu. Ini soal melahirkan masyarakat yang ada otak, bukan hal main-main," tambahnya.
Tanpa bebanan untuk memiliki buku, golongan pembaca dan bakal pembaca diyakini akan memburu lebih banyak buku. Kaedah ini dilihat jauh lebih berkesan daripada membiarkan buku tersadai di rak-rak kedai. Dalam usaha membudayakan amalan membaca pula, Hafiz berharap kerajaan tidak melahirkan masyarakat yang lemah intelek menerusi 'bahan bacaan kontang idea'. Novel-novel cinta tempatan dan import yang berselerak bukan sajian murah terbaik untuk membentuk minda masyarakat.
KEDAI BookXcess yang terletak di Amcorp Mall, Petaling Jaya.
Sebaliknya, buku-buku yang 'berisi' dan berunsur ilmiah diyakini mampu menggerakkan kesedaran dan pandangan sosial seseorang pembaca. Turut mencari buku dari pelbagai sumber alternatif, Hafiz mengakui salinan fotokopi mungkin satu-satunya jalan demi memenuhi keperluan pembacaan berkos rendah.
"Jika buku-buku itu benar-benar sukar didapati dan mahal, apakah alternatif yang lebih baik, selain menggunakan salinan fotokopi walaupun tidak 'dihalalkan'.
Bagi pengusaha kedai buku lebihan, BookXcess, Jacqueline Ng pula, lambakan buku murah juga menguntungkan golongan penulis. Buku yang diturunkan harganya secara tidak langsung memberi peluang kedua kepada karyawan.
"Bila harga buku murah, pembaca akan terdedah kepada penulis-penulis baru atau tidak dikenali. Jika mereka sukakan karya tersebut, pembaca akan dapatkan judul buku lain daripada penulis yang sama dari kedai buku perdana. Bukankah itu satu berita baik?" tanyanya kepada Kosmo!.
Dengan ruang kedai berkeluasan 3,000 kaki persegi, BookXcess yang terletak di pusat beli-belah Amcorp Mall, Jalan Ampang menawarkan lebih 10,000 judul buku berbeza genre.
ANDREW (kiri) dan Jacqueline ingin meningkatkan bilangan pembaca menerusi jualan buku murah.
DI negara-negara Barat, industri buku alternatif seperti buku lebihan bukan perkara baru. Kewujudan industri buku lebihan ini bertitik-tolak daripada pelbagai faktor. Misalnya, harga buku yang mahal telah mengalihkan perhatian pembaca kepada sumber alternatif.
Jika anda menganggap 'lebihan' ini sebagai produk-produk lama yang rendah kualitinya, anda silap. Ia sebenarnya merujuk kepada lambakan buku asli dan masih baru. Jika bertuah, anda mungkin menemui buku-buku pemenang anugerah.
Di Malaysia, gedung buku BookXcess telah mengambil pendekatan serupa. Dengan ruang kedai berkeluasan 3,000 kaki persegi, BookXcess yang terletak di pusat beli-belah, Amcorp Mall menawarkan lebih 10,000 judul buku berbeza genre.
Fiksyen am, bantu diri, perniagaan, sejarah, buku masakan, biografi dan buku kanak-kanak adalah antara genre yang ditawarkan. Dengan potongan harga buku-buku baru antara 50 hingga 70 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran, inisiatif ini jelas berkesan menambat ramai pembaca baru. Buktinya, biarpun hanya dua tahun beroperasi, BookXcess telah memiliki lebih 3,000 orang ahli.
"Objektifnya ialah untuk melihat impaknya kepada masyarakat Malaysia. Tidak hanya untuk pembaca sedia ada, malah melibatkan mereka yang jarang membaca.
"Kami mahu melihat pelanggan melangkah masuk dan teruja kerana harganya yang sangat murah," jelas Jacqueline Ng yang mengusahakan BookXcess bersama suaminya, Andrew.
Biarpun tidak selalu menawarkan senarai penuh buku terkini, usah kecewa. Sebabnya, dalam 80 peratus stok yang diimport dari Britain dan selebihnya dari Amerika Syarikat (AS), ia membawa berita baik.
Buku-buku pemenang anugerah, terlaris mahupun popular, baik dari genre fiksyen atau bukan fiksyen pasti dapat memuaskan nafsu membaca pelanggan BookXcess.
"Di Asia misalnya, kita tidak mengenali ramai penulis. Majoriti pembaca hanya memilih buku-buku yang ditulis oleh penulis komersial. Jadi, apabila mereka ada peluang untuk membaca lebih banyak pada harga yang murah, secara tidak langsung, pembaca dapat berkenalan dengan karya-karya penulis berorientasikan sastera.
"Jika setiap bulan, kita menetapkan bajet untuk membeli buku, jarang sekali buku-buku dari golongan penulis ini dipilih, melainkan kalau anda tahu ia bagus.
"Begitu juga dengan penulis tempatan. Mungkin selama ini, ramai yang tidak sanggup keluarkan RM30 hingga RM40 untuk beli sebuah buku. Tapi, bila harga buku murah, penulis juga dapat publisiti," tambah Andrew memberi pendapat.
Harga normal sebuah buku genre fiksyen dan bukan fiksyen ialah sekitar RM17.90 hingga RM29.90 sahaja. Lebih menarik, BookXcess turut menyediakan beberapa perkhidmatan seperti yang ditawarkan oleh gedung buku utama.
Perkhidmatan membalut buku sebagai hadiah, khidmat pelanggan dan sistem inventori berkomputer menjadi bonus kepada sesiapa yang berkunjung ke sana.
Pemain-pemain utama dalam industri buku tempatan sudah tentunya terasa 'tergugat' dengan kehadiran BookXcess. Tekanan dan aduan bertalu-talu daripada pesaing merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi oleh pasangan ini.
"Mereka yang menganggap kami sebagai pesaing. Kami memang berada dalam industri buku. Tetapi, BookXcess mendukung hala tuju yang berbeza.
"Lagipun, kami tidak buat salah. Mereka cuma mengadu kepada pengedar dan penerbit. Tetapi, pengedar faham situasi ini dan mengapa wujudnya industri buku lebihan," jelas Andrew dengan terperinci.
Industri buku lebihan secara tidak langsung membantu melariskan buku yang terlebih cetak atau telah berada di pasaran selama enam bulan selepas tarikh ia dilancarkan. Malah, acara jualan buku Big Bad Wolf tempoh hari juga dikelolakan oleh Andrew and Jacqueline.
Kalau diikutkan, perniagaan buku lebihan tidaklah terlalu menguntungkan. Tetapi, pasangan ini percaya inisiatif mereka tidak akan sia-sia sekiranya komuniti pembaca semakin besar. - YEO LI SHIAN
Monday, August 3, 2009
Saturday, August 1, 2009
JUAL BUKU DI MUDAH.COM
(item ini saya dah berjaya jual di MUDAH)
Saya dah cuba 'listing' beberapa buku untuk dijual di MUDAH seperti buku novel, buku rujukan dan sebagainya sejak 2 minggu yang lalu. Setakat hari ini belum ada pembeli lagi. Saya pernah berjaya jual 'crutch'di MUDAH. Di antara buku-buku yang saya senaraikan di MUDAH:
PESTA BUKU SELANGOR 2009
Dah lama rupanya tak update blog ini, memandangkan kerja-kerja di pejabat semakin sibuk.
Pesta Buku Selangor diadakan di Komplek PKNS, Shah Alam dari 24Jul hingga 3Aug'09. Saya telah mengunjunginya 2 kali pada hari pertama dan sekali lagi pada 1Aug'09. Pada 1Aug saya sempat menghadiri 'Book Talk' oleh Dr Ridwan penulis buku 'Haji Muda' keluaran PTS.
Saya juga ternampak Dr Azman penulis buku 'jutawan sebelah rumah' tapi tak sempat menegurnya kerana telah hilang kelibatnya. Saya telah beli buku beliau melalui www.bookcafe.com Saya baru tahu beliau merupakan senior saya di MRSM KB dulu.
Saya membeli buku-buku keluaran PTS seperti solat duha, sedekah dan buku novel terbaru tulisan Dr Tuah kat Alaf 21.
Macam biasa saya mencari buku-buku murah untuk dijual semula. Saya jumpa kat DBP dan jumpa berkenalan dengan seorang pakar atau pembekal besar dalam bidang buku lama (terutamanya buku-buku keluaran syarikat penerbitan India Muslim). Saya akan menghubungi beliau kemudian.
Di antara buku-buku yang saya beli:
Pesta Buku Selangor diadakan di Komplek PKNS, Shah Alam dari 24Jul hingga 3Aug'09. Saya telah mengunjunginya 2 kali pada hari pertama dan sekali lagi pada 1Aug'09. Pada 1Aug saya sempat menghadiri 'Book Talk' oleh Dr Ridwan penulis buku 'Haji Muda' keluaran PTS.
Saya juga ternampak Dr Azman penulis buku 'jutawan sebelah rumah' tapi tak sempat menegurnya kerana telah hilang kelibatnya. Saya telah beli buku beliau melalui www.bookcafe.com Saya baru tahu beliau merupakan senior saya di MRSM KB dulu.
Saya membeli buku-buku keluaran PTS seperti solat duha, sedekah dan buku novel terbaru tulisan Dr Tuah kat Alaf 21.
Macam biasa saya mencari buku-buku murah untuk dijual semula. Saya jumpa kat DBP dan jumpa berkenalan dengan seorang pakar atau pembekal besar dalam bidang buku lama (terutamanya buku-buku keluaran syarikat penerbitan India Muslim). Saya akan menghubungi beliau kemudian.
Di antara buku-buku yang saya beli:
Subscribe to:
Posts (Atom)